JOHOR BAHRU, 1 Januari — Polis Johor mencatat sebanyak 9,356 saman hasil pemeriksaan ke atas 23,763 kenderaan sepanjang pelaksanaan Op Krismas dan Ambang Tahun Baharu 2026 bermula 23 Disember hingga lewat malam tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, dalam tempoh operasi berkenaan, seramai 17 individu berumur antara 14 hingga 46 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.
Manakala 130 kenderaan disita melibatkan 126 motosikal, dua kereta, sebuah van dan sebuah lori.
Beliau berkata, operasi turut melibatkan pemeriksaan ke atas 28,553 individu serta 1,505 premis perniagaan.
"Seramai 1,681 pegawai kanan dan anggota digerakkan di lokasi strategik termasuk kawasan perumahan, pusat hiburan, pusat beli-belah, lebuh raya utama dan pintu masuk antarabangsa," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor juga melaksanakan Op Lancar dari 25 hingga 31 Disember, dengan fokus mengurangkan kesesakan lalu lintas menerusi tindakan penyuraian di laluan utama.
“Polis Johor sentiasa komited melindungi keselamatan masyarakat dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan jenayah atau pelanggaran undang-undang jalan raya,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.
