fb fb fb fb fb

Peguam ditahan, disyaki subahat seludup dadah ke penjara

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin (kanan) menunjukkan wajah suspek yang ditahan selepas dipercayai bersubahat dengan banduan menyeludup masuk dadah ke dalam Penjara Marang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu hari ini/ BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Seorang peguam lelaki ditahan kerana dipercayai bersubahat dengan seorang banduan berkaitan kes menyeludup dadah ke sebuah penjara di Marang.

Suspek berusia 32 tahun itu ditangkap pada 29 Disember lalu di Jalan Hiliran, Pulau Kambing, Kuala Terengganu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata suspek dipercayai bersubahat membawa masuk dadah ke penjara tersebut pada 23 Disember lalu melalui banduan lelaki yang juga anak guamnya selepas selesai menjalani perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Selesai perbicaraan, banduan tersebut dibawa pulang ke Penjara Marang untuk menjalani hukuman dan diarah melalui pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas.

Ketika pemeriksaan pihak penjara mendapati terdapat objek asing dalam badan banduan tersebut lalu dihantar ke klinik penjara untuk pemantauan rapi.

Banduan tersebut kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Merchang untuk pemeriksaan sebelum dibawa semula ke klinik Penjara Marang untuk tindakan selanjutnya.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa objek asing yang mencurigakan dalam tubuh badan banduan tersebut, banduan berkenaan kemudiannya dibawa semula ke penjara dan diasingkan pada hari yang sama, banduan tersebut telah membuang air besar dan mengeluarkan sebanyak 12 ketul, hasil pemeriksaan mendapati ketulan tersebut disyaki mengandungi pil kuda dan ganja," katanya pada sidang media di sini.

Dalam tempoh dua hari pihak penjara berjaya mengeluarkan 123 gram pil Yaba atau ganja dan Erimin 5 sebanyak 13 gram yang bernilai RM16,000 dan mencukupi untuk kegunaan 800 penagih.

Peguam tersebut telah direman selama enam hari sehingga 4 Januari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 107(C) dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat.

Pihak polis juga meminta kerjasama orang ramai untuk menjejaki seorang suri rumah, Nurul Norasikin Aladin, 30 tahun dari Kampung Batin, Seberang Takir untuk membantu siasatan kes terebut.

Dalam pada masa sama peguam berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 348 Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam satu kes membabitkan kurungan salah serta pemaksaan menyerahkan harta di sebuah bengkel di Paka, Dungun pada 8 Disember lalu.

Menurut beliau, mangsa iaitu seorang ahli perniagaan dipaksa menyerahkan lima buah kereta, sebuah motosikal dan geran tanah selepas gagal menyelesaikan hutang pelaburan RM353,000 oleh pemungut hutang ketika dalam tahanan.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN