KUCHING, 9 Mei – Seramai 25 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan di dua tapak pembinaan sekitar Kuching, awal pagi tadi.
Pengarah Imigresen Sarawak, Abdul Halim Abang Naili berkata, operasi bermula sekitar pukul 1 pagi itu dilakukan susulan risikan awal yang mendapati kawasan berkenaan sering menjadi lokasi tumpuan warga asing yang disyaki bekerja secara haram.
“Dalam serbuan tersebut, seramai 46 individu warga asing diperiksa yang melibatkan 39 lelaki dan tujuh perempuan.
"Hasil semakan mendapati 25 daripadanya yang terdiri daripada 21 lelaki dan empat perempuan warga Indonesia ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara kesalahan yang dikesan termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan serta salah guna pas lawatan sosial.
Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Dalam pada itu, Abdul Halim turut menyeru orang awam serta majikan agar terus bekerjasama dengan pihak imigresen bagi memastikan pematuhan undang-undang dan segera melaporkan sebarang aktiviti berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI) kepada pihak berkuasa terdekat.