KUALA LUMPUR 9 Mei: Polis menyelamatkan 85 individu termasuk 17 kanak-kanak dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang bagi tujuan buruh paksa melalui dalam Operasi Pintas Mega yang dijalankan di seluruh negara, semalam.
Sejumlah 36 serbuan secara serentak dilakukan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSM) D3, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, hasil koordinasi bersama JSJ di semua kontinjen bertujuan membanteras jenayah pemerdagangan orang secara holistik seluruh negara.
Pengarah JSJ Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata operasi turut membabitkan kerjasama agensi penguatkuasaan lain termasuk Majlis Antipemerdagangan Orang (MAPO), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Katanya, fokus operasi adalah mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dalam sektor perkhidmatan, sektor perladangan, eksploitasi buruh kanak-kanak dan sindiket pengemis berpandukan National Guideline On Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.
“Sepanjang operasi ini kita menahan 175 orang terdiri 21 warga tempatan, selain 87 warga Myanmar, Bangladesh (31), Indonesia (14), China (sembilan), masing-masing lima membabitkan India dan Filipina, dua warga Nepal dan seorang warga Pakistan.
Mereka disyaki terbabit dalam jenayah pemerdagangan orang serta eksploitasi buruh paksa.
“Kita turut menyelamatkan 17 kanak-kanak termasuk seorang perempuan, 58 lelaki dan 10 wanita di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
“Berdasarkan pemeriksaan, 49 mangsa dalam sektor perkhidmatan dan 33 mangsa eksploitasi buruh paksa diselamatkan dalam operasi ini,” katanya.
Datuk Seri Mohd Shuhaily berkata, daripada keseluruhan 36 serbuan seluruh negara, tujuh serbuan dibuat di Selangor iaitu tertinggi dengan jumlah tangkapan 21 orang.
Kesalahan dikesan adalah di bawah Seksyen 12 dan Seksyen 14 Akta ATIPSOM, Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius aktiviti jenayah pemerdagangan orang dan tindakan tegas akan dilaksanakan terhadap mana-mana individu dan kumpulan jenayah yang melakukan jenayah ini.
“Kerjasama masyarakat yang mempunyai maklumat tentang jenayah pemerdagangan orang dan eksploitasi buruh paksa amat dialu-alukan dalam membanteras aktiviti ini,” katanya.
Orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran di seluruh negara.