fb fb fb fb fb

Polis Bukit Aman serah rakaman audio kes tembak di Durian Tunggal kepada CSM

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 29 Disember - Polis telah menyerahkan rakaman audio berkaitan kes tembak mati tiga lelaki di Durian Tunggal kepada Cyber Security Malaysia (CSM) bagi tujuan analisis forensik.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, rakaman berkenaan merupakan antara bahan bukti penting dalam siasatan dan perlu disahkan kesahihannya secara teknikal.

Menurut beliau, polis turut mengambil sampel perbandingan suara daripada keluarga mangsa, pengadu serta pegawai polis yang terlibat dalam operasi berkenaan.

"Kertas siasatan juga akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara hari ini untuk mendapatkan arahan dan nasihat lanjut sementara menunggu keputusan analisis rakaman audio tersebut," katanya.

Mengulas mengenai status pegawai terlibat, Datuk M. Kumar berkata siasatan masih dijalankan dan pegawai berkenaan tidak melaksanakan tugas penguatkuasaan secara aktif buat masa ini.

Beliau menegaskan siasatan dijalankan secara telus dan menyeluruh, termasuk siasatan dalaman oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

Insiden pada 24 November lalu menyaksikan tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.

Kes berkenaan kini disiasat oleh pasukan khas yang ditubuhkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

EZA YUSMAWATI YAACOP