
ALOR SETAR, 3 April– Penguasaan terhadap teknologi kecerdasan buatan (AI) menjadi antara fokus utama Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) bagi mengimbangi perkembangan teknologi digital yang semakin mencabar dan kompleks.
- Perkembangan pesat AI menuntut warga penyiaran lebih kreatif dan inovatif menghasilkan karya serta produk bermutu tinggi selari zaman.
- Aspek kemanusiaan tidak harus diabaikan walau teknologi canggih; interaksi manusia dan komunikasi bermakna semakin terjejas.
- Kekerapan penggunaan telefon pintar menyebabkan hubungan akrab dan komunikasi langsung semakin terhakis; perlu usaha memulihkan.
- Warga penyiaran digesa kembali mendekati masyarakat secara realiti untuk membina semula hubungan bermakna dan kekal relevan.
Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata perkembangan pesat AI menuntut warga penyiaran untuk lebih kreatif dan inovatif dalam menghasilkan karya serta produk bermutu tinggi yang selari dengan peredaran zaman.
Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan bahawa di sebalik kecanggihan teknologi tersebut, aspek kemanusiaan tidak seharusnya diabaikan.
“Dalam era kecerdasan buatan (AI) dan kepesatan teknologi, kita dapati interaksi sesama manusia semakin terjejas akibat kekerapan penggunaan telefon pintar. Komunikasi yang bermakna serta hubungan akrab antara individu seolah-olah semakin terhakis.”
“Justeru, untuk memastikan diri kita kekal efektif dan relevan dalam zaman ini, kita perlu kembali mendekati masyarakat secara realiti (ground) bagi membina semula hubungan yang lebih bermakna,” kata Ashwad kepada pemberita, hari ini.
Beliau berucap demikian pada majlis perjumpaan Ketua Pengarah Penyiaran bersama warga KEDAHfm di Auditorium Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Kedah di Jalan Kuala Kedah, di sini.
Hadir sama, Pengarah Penyiaran Negeri Kedah, Nur Hafizoh Idris dan Timbalan Pengarah Penyiaran Negeri Kedah, Rohani Musa.
Sempena program tersebut, beliau turut bersiaran di konti KEDAHfm dan meninjau fasiliti di jabatan itu.