
KUALA LUMPUR, 3 April– Pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam sektor awam kini mendapat reaksi positif warga sektor swasta yang menyifatkan langkah tersebut sebagai mekanisme efektif untuk mengurangkan kos sara hidup dan perbelanjaan harian.
- Sistem hibrid tiga hari pejabat, dua hari rumah menjimatkan kos petrol dan masa perjalanan.
- BDR mengurangkan perbelanjaan harian, termasuk makan dan kos mobiliti, terutama bagi pekerja yang menggunakan komputer.
- Inisiatif baik untuk diuji; berpotensi memperbaiki kesejahteraan rakyat dan keseimbangan kerja-hidup sambil menilai impak ekonomi.
Menerusi tinjauan RTM, rata-rata mereka menyokong pendekatan berkenaan kerana ia bukan sahaja relevan dalam mendepani cabaran ekonomi semasa, malah mampu meningkatkan kualiti hidup pekerja secara keseluruhan.
“Di tempat kerja saya sendiri, kami telah mengamalkan sistem hibrid iaitu tiga hari di pejabat dan dua hari dari rumah. Secara peribadi, saya melihat banyak penjimatan yang boleh dilakukan terutamanya dari aspek kos petrol serta masa perjalanan,” kata Izza Azelan.
“Pelaksanaan BDR akan mewujudkan penjimatan kos sara hidup, khususnya bagi pekerja yang bertugas menggunakan komputer. Hal ini kerana mereka tidak perlu banyak bergerak, sekali gus menjimatkan kos mobiliti ke pejabat serta perbelanjaan harian seperti makanan dan keperluan lain,” kata Carlos Nazrishak.
“Pelaksanaan BDR dalam sektor swasta adalah satu langkah yang baik. Tidak salah untuk kita mencuba inisiatif ini bagi melihat kesannya terhadap prestasi ekonomi serta kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” jelas Sharon Puspah Devi.
Secara keseluruhannya, pekerja swasta melihat BDR sebagai langkah praktikal dalam mengurangkan beban kos sara hidup, di samping mengekalkan keseimbangan antara keperluan kerja dan kehidupan harian.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi sektor awam membabitkan kementerian, agensi serta badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan, bermula 15 April ini.