
BUDAPEST, 9 Mei – Pemimpin konservatif pro-Eropah, Peter Magyar secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Hungary hari ini, dengan ikrar untuk melaksanakan “perubahan rejim” secara besar-besaran selepas 16 tahun pentadbiran nasionalis Viktor Orban.
- Parti Tisza menguasai 141 daripada 199 kerusi, memberi majoriti dua pertiga untuk meminda perlembagaan dan melaksanakan pembaharuan besar.
- Magyar memperoleh mandat besar dalam pilihan raya April dengan janji membanteras rasuah dan memulihkan kebebasan demokrasi.
- Beliau utamakan pemulihan hubungan dengan Kesatuan Eropah untuk melepaskan dana bantuan berbilion euro yang dibekukan.
- Berikrar merombak kawalan terhadap institusi kehakiman, media dan akademik yang sebelum ini dikuasai sekutu Orban.
Magyar, 45, mememperoleh mandat besar dalam pilihan raya umum 12 April lalu menerusi janji reformasi menyeluruh bagi membanteras rasuah dan memulihkan kebebasan demokrasi.
Parti Tisza pimpinan beliau menguasai 141 daripada 199 kerusi Parlimen, memberikan majoriti dua pertiga yang membolehkan pentadbiran baharu meminda perlembagaan serta melancarkan pelbagai pembaharuan institusi.
Dalam ucapan sulungnya, Magyar menegaskan keutamaan beliau adalah untuk memulihkan kedudukan Hungary dalam Kesatuan Eropah (EU) dan berusaha melepaskan dana bantuan berbilion euro yang dibekukan oleh Brussels sebelum ini ekoran kebimbangan terhadap kedaulatan undang-undang di bawah kerajaan terdahulu.
Beliau juga bertekad untuk merombak kawalan terhadap institusi kehakiman, media, dan akademik yang selama ini dikuasai oleh sekutu Orban.
Kehadiran Magyar di Parlimen disambut dengan sorakan ratusan penyokong di luar bangunan yang menyifatkan peralihan kuasa itu sebagai berakhirnya era “demokrasi iliberal” dan permulaan kepada rekonsiliasi nasional.
Sementara itu, Viktor Orban, 62, mengesahkan beliau tidak akan menduduki kerusi Parlimen dan sebaliknya akan menumpukan perhatian kepada penyusunan semula kem nasionalis di luar dewan perundangan.
Pelantikan Magyar turut menyaksikan pembentukan barisan kepimpinan yang lebih dinamik, termasuk pelantikan menteri cacat penglihatan yang pertama dalam sejarah negara itu.
Ia sekali gus menandakan permulaan era politik baharu bagi 9.5 juta rakyat Hungary. – AFP