
TEHRAN, 9 Mei – Sumber ketenteraan Iran memberi amaran pertempuran di Teluk Parsi akan berulang kembali sekiranya kapal-kapal Amerika Syarikat cuba memasuki semula kawasan itu dan mengganggu kapal Iran.
- Iran memberi amaran pertempuran di Teluk Parsi akan berulang jika kapal AS kembali memasuki dan mengganggu kapal Iran.
- Tasnim melaporkan amaran itu susulan pertukaran tembakan antara tentera Iran dan Amerika Syarikat di Selat Hormuz.
- Beberapa letupan dilaporkan berhampiran Selat Hormuz, termasuk bandar selatan, namun punca letupan masih belum dikenal pasti.
- Iran sedang merangka rang undang-undang baru berkaitan Selat Hormuz dengan perbincangan bersama kementerian luar dan pihak pelabuhan.
Tasnim News Agency melaporkan amaran itu dikeluarkan selepas tentera Iran dan Amerika Syarikat saling berbalas tembakan di Selat Hormuz pada Khamis.
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) Iran turut melaporkan pertempuran kecil dengan kapal-kapal AS di selat berkenaan pada Jumaat.
Media Iran melaporkan beberapa letupan kedengaran di kawasan berhampiran Selat Hormuz, termasuk di bandar selatan Iran seperti Sirik, Abbas dan Minab. Punca letupan belum dikenal pasti.
Bagaimanapun, sumber ketenteraan itu berkata keadaan di Teluk Parsi kembali stabil ketika ini.
“Jika kapal-kapal AS kembali memasuki Teluk Parsi, mereka akan menerima tindak balas tegas sekali lagi,” katanya.
Sementara itu, data pengesanan kapal menunjukkan tiada kapal besar melalui Selat Hormuz untuk hari kedua berturut-turut sehingga pagi Jumaat.
Iran turut dilaporkan sedang merangka undang-undang baharu berkaitan Selat Hormuz. Jawatankuasa Keselamatan Negara Parlimen Iran memaklumkan perbincangan sedang diadakan bersama kementerian luar serta pihak berkuasa pelabuhan dan maritim sebelum rang undang-undang itu dibentangkan semula di Parlimen.-REUTERS