Ribut jejas sambutan ‘Thanksgiving’ di seluruh AS

Foto AFP

NEW YORK, 26 November – Cuaca ekstrem mengganggu sambutan Thanksgiving bagi jutaan penduduk di seluruh Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, dengan ombak besar di kawasan pantai, ribut kencang dan salji, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kira-kira 280,000 pengguna terputus bekalan elektrik, terutama di Missouri, Virginia dan North Carolina.
  • Amaran cuaca buruk melibatkan kira-kira 80 juta penduduk, sementara perarakan Macy’s Thanksgiving Day ditangguhkan.
  • Gangguan perjalanan menyebabkan kira-kira 450 penerbangan dibatalkan, lebih 6,000 kelewatan dan beberapa jalan raya ditutup.

Kira-kira 280,000 pengguna di seluruh negara terputus bekalan elektrik pada awal pagi, kebanyakannya akibat kerosakan pada talian elektrik.

Missouri, yang dilanda salji tebal, serta negeri di bahagian timur iaitu Virginia dan North Carolina merupakan kawasan paling terjejas.

Nasihat cuaca atau amaran cuaca buruk dikeluarkan kepada kira-kira 80 juta penduduk, menurut laporan media AS.

Ombak besar melanda perairan di luar Pantai Barat berhampiran San Francisco pada hari sebelumnya sehingga menyebabkan banjir di beberapa kawasan.

Di New York, perarakan terkenal Macy’s Thanksgiving Day Parade ditangguhkan buat kali pertama susulan amaran ribut kuat manakala darurat diisytiharkan sebagai langkah berjaga-jaga di beberapa kawasan di negeri New York dan seluruh New Jersey.

Thanksgiving antara cuti kebangsaan paling penting di AS. Hidangan tradisional yang disajikan termasuk ayam belanda panggang, sos kranberi serta ubi keledek lenyek yang dihiasi marshmallow cair.

Jutaan penduduk merentas perjalanan untuk bertemu keluarga masing-masing sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Ramai penumpang udara turut berdepan kelewatan penerbangan. Kira-kira 450 penerbangan dibatalkan di seluruh negara manakala lebih 6,000 lagi mengalami kelewatan sejak Rabu, menurut data laman penjejakan penerbangan FlightAware dan penyiar CNN.

Banyak jalan raya di beberapa lokasi turut ditutup.- BERNAMA-dpa

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.