
KUDAT, 9 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu prestasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi terus dipertingkat agar sekolah itu menjadi contoh kecemerlangan pendidikan luar bandar.
- Minta pengetua, PPD, Pengarah Pendidikan dan PIBG sediakan laporan lengkap dalam dua minggu termasuk sasaran dan langkah tambahan.
- Tekankan pendidikan berkualiti boleh mengubah kehidupan pelajar miskin dan membantu sumbangan kepada keluarga serta masyarakat.
- Kerajaan sedia pertimbangkan keperluan tambahan sekolah bagi memastikan pencapaian pelajar tidak terjejas.
- Ingatkan pemimpin guna jawatan sebagai amanah untuk membela rakyat, bukannya mengejar kepentingan peribadi.
Beliau berkata, anak-anak di kawasan terpencil seperti Pulau Banggi tetap mampu berjaya sekiranya diberikan perhatian serius dalam bidang pendidikan.
Menurut beliau, pendidikan berkualiti bukan sahaja mampu mengubah kehidupan pelajar daripada keluarga miskin, malah membantu mereka menyumbang kepada keluarga dan masyarakat setempat.
“Saya minta pengetua sekolah beri laporan bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Pengarah Pendidikan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengenai langkah tambahan yang perlu diambil untuk memastikan keputusan anak-anak di SMK Banggi jauh lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.
“Dalam tempoh dua minggu, saya mahu laporan lengkap disediakan termasuk sasaran dan langkah yang perlu dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Setempat Pulau Banggi, hari ini.
Menurut beliau, Pulau Banggi merupakan antara kawasan paling terpencil di Sabah, Sarawak dan Semenanjung, justeru perhatian khusus perlu diberikan terutama dalam aspek pendidikan.
“Kita harus beri tumpuan kerana anak dari keluarga paling miskin dan pulau paling terpencil juga boleh berjaya sekiranya mendapat pendidikan yang baik,” katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan.
Datuk Seri Anwar berkata lawatannya ke SMK Banggi turut mengimbau kenangan ketika beliau meletakkan batu asas pembinaan sekolah itu pada 1994 semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Katanya, sekolah tersebut kini berkembang dengan kemudahan pendidikan sehingga peringkat tingkatan enam atau prauniversiti.
Beliau turut menegaskan kerajaan bersedia mempertimbangkan keperluan tambahan sekolah berkenaan bagi memastikan usaha meningkatkan pencapaian pelajar tidak terjejas.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan semua pemimpin dan penjawat amanah supaya menggunakan kedudukan masing-masing untuk membela rakyat, bukannya mengejar kepentingan peribadi.
Katanya, jawatan yang diberikan adalah amanah besar untuk menjaga kepentingan rakyat termasuk golongan miskin dan masyarakat di kawasan pedalaman.