Kementerian Komunikasi tegur Meta hormati Institusi Raja-Raja Melayu

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ditemui kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sumbangan Prasarana Sekolah dan Anugerah Pelajar Cemerlang Parlimen Hang
Tuah Jaya di Ayer Keroh/RTM

AYER KEROH, 9 Mei -Kementerian Komunikasi telah menegur Meta agar menghormati Institusi Raja-Raja Melayu serta mematuhi sensitiviti dan undang-undang negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian akan meneliti tindakan termasuk aspek perundangan terhadap platform yang gagal mengekang akaun palsu berkaitan Institusi Diraja.
  • MCMC merekodkan lebih 15,000 akaun palsu berkaitan Institusi Raja-Raja Melayu sejak 1 Januari hingga 6 Mei.
  • Beberapa undang-undang boleh diguna termasuk Akta Keselamatan Dalam Talian untuk tindakan terhadap penyebaran akaun palsu.
  • Kementerian menunggu pengwartaan dan penerbitan kod berkaitan, proses dijangka selesai bulan ini lalu membolehkan tindakan diambil.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan, kementeriannya akan meneliti tindakan termasuk aspek perundangan terhadap mana-mana platform media sosial yang gagal mengekang kewujudan akaun palsu, khususnya melibatkan Institusi Diraja.

Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merekodkan lebih 15,000 akaun palsu berkaitan dengan Institusi Raja-Raja Melayu, yang dikesan sejak 1 Januari hingga 6 Mei lalu.

“Terdapat beberapa undang-undang yang boleh digunakan, termasuk Akta Keselamatan Dalam Talian (Online Safety Act). Namun, pihak kementerian sedang menunggu ia diwartakan secara rasmi, termasuk penerbitan beberapa kod berkaitan.

“Difahamkan, proses tersebut dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat, kemungkinan pada bulan ini. Selepas itu, tindakan boleh diambil terhadap mana-mana platform yang masih gagal menangani isu berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sumbangan Prasarana Sekolah dan Anugerah Pelajar Cemerlang Parlimen Hang Tuah Jaya di sini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Adam Adli.