KUALA LUMPUR, 10 Mei - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 33 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan pada 9 Mei.
Operasi itu bermula pukul 12.45 pagi di sebuah bangunan sekitar Seri Kembangan, Selangor yang jadikan penempatan haram.
JIM dalam kenyataan berkata, secara keseluruhan, seramai 73 PATI telah diperiksa dengan 33 PATI daripadanya berumur di antara 25 hingga 60 tahun atas pelbagai kesalahan.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada warganegara Bangladesh, Pakistan, Myanmar dan India. Hasil maklumat awal mendapati warga asing tersebut menjadikan lokasi sebagai tempat tinggal sejak 2020. Manakala, sumber bekalan air dan elektrik disyaki diperoleh secara penyambungan haram," menurut kenyataan JIM.
Operasi penguatkuasaan dilakukan dengan kekuatan 40 pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Selain itu, tindakan penguatkuasaan tersebut diambil susulan aduan orang awam berhubung PATI yang disyaki telah menghuni premis sekali gus melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966.
Kesemua yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan lanjut.