fb fb fb fb fb

Geng Rusaboy lumpuh, 17 anggota ditahan polis

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar/RTM

KUALA LUMPUR, 29 Disember - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya melumpuhkan kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Rusaboy dengan penahanan 17 anggotanya menerusi Ops Tiga.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, operasi bersepadu berkenaan melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Kontinjen Kedah serta Cawangan Khas Bukit Aman dijalankan dari 27 November hingga 4 Disember lalu.

Menurut beliau, kesemua suspek lelaki berusia antara 24 hingga 42 tahun ditahan di beberapa lokasi sekitar Kedah dan Pulau Pinang.

Siasatan awal mendapati kumpulan tersebut dipercayai aktif melakukan pelbagai jenayah kekerasan termasuk rompakan, pembunuhan, pengedaran dadah serta kegiatan meminta wang perlindungan.

“Kumpulan ini dianggarkan mempunyai kira-kira 35 anggota dan diketuai seorang lelaki tempatan yang kini masih diburu pihak polis,” katanya di sini.

Kesemua suspek didapati mempunyai rekod jenayah lampau dan kini disiasat mengikut Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan (SOSMA). Mereka dijadualkan didakwa di Mahkamah Sesyen Sungai Petani esok.

PDRM menegaskan komitmen untuk terus mengambil tindakan tegas bagi membanteras kegiatan jenayah terancang demi keselamatan dan ketenteraman awam.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD