KOTA TINGGI, 29 Disember - Seorang pemandu e-Hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Pengerang di sini hari ini atas tiga pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, serta satu pertuduhan memiliki rokok seludup tanpa cukai kastam, pada Oktober lalu.
Tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Mengikut pertuduhan, Loo Chun Hao, 32 tahun, didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian tiga mangsa, iaitu Muhammad Abdul Khalid Ab Rashid, 19 tahun, Fazrizal Izuan Zuhaimi, 20 tahun, dan Muhammad Hafizhan Hanafi Norhaizal, 21 tahun.
Beliau turut didakwa memiliki sebanyak 24 karton rokok seludup bernilai RM3,894, yang merupakan barangan berduti semasa pengimportan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 56, Lebuhraya Senai–Desaru pada pukul 11.45 pagi, 11 Oktober 2025.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dan menetapkan sebutan semula kes pada 6 Februari 2026.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nor Ayu Hidayah Mohd Safri mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Akta Kastam 1967, manakala tertuduh diwakili peguam K. Sarawanan.