fb fb fb fb fb

Warga emas rugi lebih RM300,000 terjerat 'phone scam'

Foto hiasan

TAIPING, 28 Disember - Seorang warga emas mengalami kerugian RM318,521 akibat diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon di sini.

Sindiket didakwa menyamar sebagai pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Mohamad Nasir Ismail berkata, mangsa wanita berusia 74 tahun dan pesara kerajaan membuat laporan polis pada Jumaat lalu.

Mangsa menerima panggilan telefon pada 2 Disember daripada seorang lelaki yang mendakwa wakil Tenaga Nasional Berhad dan memaklumkan kononnya nama mangsa digunakan untuk pendaftaran meter elektrik di Kuantan, Pahang.

“Panggilan kemudiannya disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan dimaklumkan terlibat dalam kes pengubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa diarahkan memberi kerjasama dengan menyerahkan maklumat peribadi, butiran akaun serta memaklumkan jumlah wang dan barang kemas yang dimiliki bagi tujuan siasatan.

Tambahnya, mangsa turut diarahkan membungkus kad ATM dan barang kemas sebelum meletakkannya di lokasi yang ditetapkan, selain memberikan kata laluan kad ATM.

“Oleh kerana mangsa dalam keadaan takut, mangsa mematuhi semua arahan termasuk memindahkan simpanan Amanah Saham Bumiputera ke akaun bank dan memberikan maklumat akaun Tabung Haji,” katanya.

Mangsa menyedari semua wang dalam akaun bank dan Tabung Haji telah lesap pada 23 Disember dan hasil semakan mendapati terdapat transaksi yang tidak dilakukan oleh mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN