JOHOR BAHRU, 28 Disember - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 12 lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam berhubung kejadian rusuhan bersenjata di sebuah restoran di Taman Mount Austin di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu, sekumpulan suspek dipercayai menyerang mangsa dan rakannya menggunakan kerusi serta pisau pemotong daging.
Serangan itu mengakibatkan mangsa cedera di kepala, lengan dan betis.
Insiden tersebut turut tular di media sosial.
Siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat perselisihan faham melibatkan hutang peribadi antara dua suspek.
Bertindak atas maklumat, polis dari Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan menahan kesemua suspek dalam operasi berasingan di sekitar Johor Bahru antara 27 hingga 28 Disember.
Polis turut merampas tujuh telefon bimbit, sebilah pisau dan pakaian dipercayai digunakan semasa kejadian.
Semakan rekod mendapati tujuh suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah, manakala enam didapati positif ketamin hasil ujian saringan air kencing.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi suspek terlibat dadah.
Semua lelaki direman tujuh hari hingga 3 Januari, manakala wanita warga Vietnam direman tiga hari hingga 30 Disember ini.
Polis masih mengesan suspek lain dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau IPD Johor Bahru Selatan.