KUALA LUMPUR, 28 Disember - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Perseketuan Kuala Lumpur telah menyita sebanyak 1,002 buah motosikal atas pelbagai kesalahan setakat hari ini, dengan fokus utama diberikan terhadap pengubahsuaian ekstrem dan aktiviti tunggangan berbahaya.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pihaknya kini mengambil tindakan lebih tegas, terutama terhadap penggunaan nombor pendaftaran 'fancy', ekstrem dan mengelirukan.
"Saya Ingin memberi peringatan berdasarkan kes yang telah didakwa di mahkamah pada minggu lepas di Mahkamah Kajang pada minggu lepas untuk kes-kes nombor pendaftaran ekstrem dan fancy kami akan mengenakan hukuman bawah Seksyen 108, hukuman minimum mencecah RM5,000 dan boleh mencecah RM10,000," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media selepas tamat operasi di ibu negara hari ini.
Mengenai perkembangan Op Luxury yang dilancarkan sejak 1 Julai lepas, beliau memaklumkan sebanyak 915 kenderaan mewah telah disita setakat ini akibat kegagalan pemilik memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan.
Pemilik kenderaan mewah yang terlibat kini berada dalam radar pemantauan JPJ dan digesa untuk segera menyelesaikan tunggakan bagi mengelakkan tindakan undang-undang lebih berat.