Penyalahgunaan dadah cecah hampir 192,000 kes- AADK

FOTO BERNAMA

KOTA BHARU, 25 April – Seramai 191,832 individu direkodkan terbabit dalam penyalahgunaan dadah di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Negeri sempadan mencatat penggunaan dadah sintetik jenis ATS paling dominan.
  • Fokus tahun ini pada pengurangan permintaan melalui program kesedaran melibatkan ibu bapa, komuniti, sekolah dan pentadbiran.
  • AADK akan merekodkan data penyalahgunaan mengikut daerah untuk memperkukuh perancangan pencegahan dan dasar.
  • Dadah sintetik sekitar 70 peratus; sindiket mencampurkan ketamin, magic mushroom dan fentanyl ke dalam cecair vape.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan, Datuk Ruslin Jusoh berkata, negeri sempadan mencatatkan jumlah tertinggi dengan penggunaan dadah sintetik jenis Amphetamine-Type Stimulants (ATS) paling dominan.

Menurut beliau, usaha mengurangkan permintaan dadah menjadi fokus utama tahun ini menerusi program kesedaran, khususnya melibatkan ibu bapa dan komuniti.

“Bagaimana mengurangkan permintaan adalah melalui program kesedaran dan promosi kepada masyarakat supaya ibu bapa sedar bahaya dadah serta mampu membimbing anak-anak.

“Peranan ini bukan sahaja melibatkan AADK, malah komuniti, sekolah serta seluruh struktur pentadbiran di peringkat negeri, daerah dan kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sua Mesra Ketua Pengarah AADK di SMK Penambang, di sini.

Tambahnya, bermula tahun ini AADK akan merekodkan data penyalahgunaan dadah mengikut daerah bagi memperkukuh perancangan program pencegahan dan dasar sedia ada.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan trend penggunaan dadah sintetik kini membimbangkan apabila menyumbang kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan kes.

Lebih merisaukan, sindiket dikesan mencampurkan bahan terlarang seperti ketamin, magic mushroom dan fentanyl ke dalam cecair vape.

Sehubungan itu, AADK akan mengambil pendekatan lebih proaktif termasuk menggubal Dasar Dadah Negara baharu yang kini di peringkat kajian bersama institusi pengajian tinggi.