
KUALA LUMPUR, 25 April – Kira-kira 3,500 liter diesel disyaki diseleweng dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur dalam serbuan Ops Tiris (Bersepadu) 4.0 di Jalan Air Jernih, Setapak, semalam.
- Seorang pemandu lori tempatan ditahan untuk siasatan selepas pemeriksaan.
- Lori diubah suai dengan empat tangki IBC, dua pam penyedut, hos dan telefon bimbit disita.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Kawalan Bekalan 1961; keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM52,000.
Dalam serbuan kira-kira pukul 6.40 petang itu, seorang pemandu lori lelaki warga tempatan lingkungan 20-an turut ditahan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Kuala Lumpur, Mohd Shahran Mohd Arshad berkata, rampasan diesel itu dianggarkan bernilai RM17,920 mengikut harga tanpa subsidi atau RM7,525 mengikut harga subsidi.
Katanya, lori itu dikesan dalam keadaan mencurigakan selepas mengisi diesel di dua stesen minyak berasingan di Jalan Kepong dan Jalan Kuching sebelum ditahan untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati lori itu diubah suai dengan pemasangan empat tangki jenis IBC berkapasiti 1,000 liter setiap satu di bahagian belakang.
“Kenderaan itu turut dilengkapi dua pam penyedut yang dipercayai digunakan untuk memindahkan diesel dari tangki asal ke tangki tambahan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen sah bagi pengendalian, penyimpanan dan pemilikan barang kawalan berjadual itu.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM52,000 termasuk lori, peralatan dan barangan lain yang digunakan dalam kegiatan itu,” katanya.
Beliau berkata, antara barangan lain yang turut disita ialah sebuah lori, empat tangki IBC, dua pam penyedut, beberapa hos penyambung serta sebuah telefon bimbit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Kawalan Bekalan 1961.