Syarat wajib sekolah bukan aliran kebangsaan ke universiti awam sedang dibincang

Foto Hiasan/Bernama

KANGAR, 25 April – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam proses perbincangan berhubung syarat wajib yang perlu dipenuhi pelajar aliran sekolah bukan pendidikan nasional memohon ke universiti awam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelajar perlu lulus subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM untuk permohonan ke universiti awam.
  • Mesyuarat minggu lalu diadakan bersama semua pihak berkaitan bagi membincangkan isu ini secara menyeluruh.
  • Pelaksanaan melibatkan semua sekolah bukan menggunakan kurikulum kebangsaan termasuk antarabangsa, agama, UEC, aliran Arab dan maahad tahfiz.
  • Perbincangan belum dimuktamadkan; kementerian akan menyegerakan dan menyesuaikan sistem untuk memudahkan akses pelajar bukan aliran kebangsaan.

Termasuk, lulus subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, minggu lalu satu pertemuan telah diadakan bersama semua pihak terlibat bagi membincangkan perkara tersebut secara menyeluruh.

Beliau turut menjelaskan, pelaksanaan tersebut bakal melibatkan semua sekolah-sekolah yang tidak menggunakan kurikulum kebangsaan.

Antaranya, sekolah antarabangsa, sekolah agama, aliran Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), sekolah aliran arab dan kursus-kursus lain.

”Kita tahu, contohnya sekolah maahad tahfiz, mereka tidak mengikut aliran kebangsaan, tapi bagaimana ruang mereka untuk melanjutkan pelajaran ke
universiti?

”Kita akan sesuaikan semua masalah rakyat dalam sistem pendidikan yang wujud kini, selain sistem pendidikan kebangsaan,” katanya.

Tambah beliau, proses perbincangan tersebut belum dimuktamadkan sepenuhnya dan pihaknya akan cuba menyegerakan perkara berkenaan.