
JOHOR BAHRU, 25 April – Hanya 20 peratus unit hartanah dan lot bumiputera berharga RM300,000 ke atas, telah terjual di Johor Bahru.
- Unit berharga di bawah dikategorikan sebagai Rumah Mampu Milik Johor; unit melebihi diklasifikasikan sebagai lot Bumiputera.
- Kerajaan negeri tawar insentif diskaun sehingga 15 peratus untuk galakkan penjualan unit tidak terjual.
- Penjualan kini tertumpu kepada pembeli bumiputera; unit tidak terjual mungkin dibuka kepada pasaran lain selepas tempoh tertentu.
- Faktor lokasi jauh, harga tinggi dan proses lama menyumbang kepada ketidaklakuan lot Bumiputera di daerah itu.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata bagi menangani isu itu, pihaknya menawarkan insentif diskaun, bagi menggalakkan penjualan unit berkenaan.
“Unit berharga bawah RM300,000 dikategorikan sebagai Rumah Mampu Milik Johor, manakala unit melebihi RM300,000 pula diklasifikasikan sebagai lot bumiputera.
“Setakat ini, berdasarkan rekod, hanya kira-kira 20 peratus lot bumiputera berjaya dijual dan penjualannya tertumpu kepada pembeli bumiputera dan ia bersifat terbuka. Namun terdapat tempoh tertentu sebelum unit yang tidak terjual dipertimbangkan untuk dibuka kepada pasaran lain.
“Bagaimanapun, kawalan sedia ada terus dikekalkan bagi memastikan lebih ramai bumiputera berpeluang memiliki rumah berharga melebihi RM300,000, termasuk melalui tawaran diskaun sehingga 15 peratus”, katanya.
Faktor lokasi jauh, harga tinggi dan proses memakan masa lama, menjadi antara faktor penyumbang kepada lot Bumiputera di daerah itu tidak terjual.
Beliau ditemui semasa Majlis Penyampaian Inisiatif Perumahan Kasih Johor Fasa 2 di Austin International Convention Centre (AICC), Johor Bahru.