
KUALA LUMPUR, 25 April – Suara wanita perlu diberi ruang yang lebih luas dalam masyarakat kerana ia merupakan asas kepada pembangunan negara yang adil, inklusif dan berdaya tahan.
- Galakkan wanita tampil sebagai pemimpin dan pembuat keputusan untuk membina keyakinan serta penglibatan bermakna dalam masyarakat.
- Rapatkan jurang keterwakilan wanita dalam pembentukan dasar agar perspektif seimbang di sektor pendidikan, ekonomi, sektor awam dan teknologi.
- Manfaatkan platform digital, pendidikan dan jaringan untuk mencipta peluang sendiri serta memperkukuh pemerkasaan ekonomi wanita.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata demikian dalam ucapan perasmian program Voices of Ladies 2026 di Dewan Perdana Mestika, Institut Latihan DBKL (IDB), Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
“Ruang seperti ini sangat penting untuk membina keyakinan wanita agar berani tampil bukan sahaja sebagai peserta tetapi sebagai pemimpin dan pembuat keputusan dalam masyarakat,” katanya.
Beliau menekankan wanita yang berjaya dalam bidang pendidikan, keusahawanan, sektor awam dan korporat serta teknologi digital, perlu melibatkan diri dalam penentuan dasar.
“Kita ada ramai wanita hebat di lapangan tetapi masih kurang di komisi utama pembuat dasar. Jurang ini perlu dirapatkan bukan sekadar untuk memenuhi kotak tetapi kerana negara memerlukan keseimbangan perspektif,” katanya.
Kepimpinan wanita bukan isu masa depan semata-mata, tetapi keperluan masa kini dan setiap sumbangan wanita akan membawa impak besar.
Beliau turut menggesa wanita memanfaatkan platform digital, pendidikan dan jaringan yang ada untuk mencipta peluang sendiri.
Bagi mencerminkan komitmen DBKL, program Konsert Voices of Ladies 2026 dianjurkan bagi memperkukuh pembangunan komuniti bandar melalui pendekatan seni, pendidikan, jaringan sosial dan pemerkasaan ekonomi.
Program tersebut dianjur dengan kerjasama Yayasan Bina Kesejahteraan (YBCare) dan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) untuk dua hari bermula hari ini hingga 26 April 2026.
Pengisian Forum Pemerkasaan Wanita dan Forum Pemerkasaan Generasi Muda, melibatkan tokoh politik, usahawan serta ikon belia.