
PONTIAN, 25 April– Polis mengeluarkan 18 saman terhadap pengguna jalan raya di daerah Pontian pada Jumaat (24 April) selepas dikesan menggunakan kenderaan mikromobiliti jenis basikal elektrik yang dilarang di jalan raya.
- Basikal elektrik disita kerana digunakan di jalan utama yang membahayakan pengguna lain.
- Tiga motosikal dan sebuah kereta disita; pemandu warga asing dipandu tanpa lesen dan insurans sah.
- Tindakan diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 3(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 2021.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, dalam operasi tersebut, sebanyak 18 buah basikal elektrik turut disita kerana digunakan di jalan utama sehingga boleh membahayakan pengguna lain.
Menurut beliau, tindakan yang diambil menerusi Op Khas itu turut melibatkan penyitaan tiga buah motosikal dan sebuah kereta yang dipandu oleh warga asing tanpa lesen serta insurans yang sah.
“Selain itu, empat buah basikal biasa turut disita kerana ditunggang di jalan utama tanpa lampu pada waktu malam.”
“Sebanyak 12 saman lain turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik hasil pemeriksaan terhadap 56 individu serta 42 kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tindakan diambil mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 3(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021.