
KUALA LUMPUR, 25 April– Penganjuran Pertandingan Dikir Barat RTM 2026 dilihat sebagai platform penting dalam usaha memartabatkan seni warisan tradisional, khususnya dalam menarik minat generasi muda.
- Edisi 2026 julung kali perkenalkan kumpulan wanita ke peringkat akhir pertandingan.
- Penyiaran menggunakan platform terrestrial, dalam talian dan global untuk memperluas capaian program.
- RTM rancangkan penghasilan program kenegerian atau hyper-local tahun hadapan bagi mengetengahkan keunikan budaya.
- Sambutan memberangsangkan dengan ribuan penonton sejak pusingan awal hingga separuh akhir, pentas akhir tentukan juara malam ini.
Program tersebut turut menjadi antara inisiatif berterusan penyiaran awam dalam mengangkat seni, budaya dan tradisi agar kekal relevan seiring perkembangan semasa, termasuk dalam kalangan generasi Gen Z dan Gen A.
Selain itu, edisi kali ini mencipta kelainan apabila buat julung kalinya memperkenalkan penyertaan kumpulan wanita di peringkat akhir, sekali gus memperluas dimensi seni dikir barat di negara ini.
Dalam pada itu, pendekatan penyiaran secara menyeluruh merangkumi platform terrestrial, dalam talian dan global turut dilihat mampu memperluas capaian program ke peringkat lebih luas.
Pengarah Bahagian Program Radio RTM, Saifuzzaman Yusop menyifatkan penganjuran sedemikian sebagai usaha strategik bagi memperkukuh warisan negara.
“Jika sebelum ini kita menerbitkan program seni warisan dan tahun ini menumpukan kepada Dikir Barat, kita berhasrat untuk menerbitkan program bersifat kenegerian atau hyper-local pada tahun hadapan.”
“Ini merupakan usaha kita untuk mengetengahkan keunikan budaya tempatan ke peringkat antarabangsa,” kata Saifuzzaman kepada pemberita, hari ini.
Sambutan terhadap pertandingan itu juga memberangsangkan apabila ribuan penonton hadir sejak peringkat awal hingga separuh akhir, sekali gus mencerminkan minat berterusan masyarakat terhadap seni tradisi tersebut.
Pentas akhir malam ini di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media bakal menentukan juara dan naib juara bagi edisi 2026.