- Kawasan kira-kira 240 hektar tumpu penghasilan produk ikan bernilai tambah tinggi.
- Kerajaan sasarkan projek siap dalam lima tahun, memudahkan pemprosesan dekat sumber dan menjimatkan kos pengangkutan.
- Sekincan sebagai kawasan pendaratan ikan, tarikan pelancongan dan tapak untuk kembangkan produk kedua dan ketiga hasil laut.
- Projek dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta merancakkan ekonomi setempat apabila mula beroperasi.

SABAK BERNAM, 25 April – Zon Industri Perikanan Sungai Lang di Sabak Bernam Selangor akan dibangunkan sebagai hab pemprosesan hasil laut bersepadu bagi memperkukuh
industri perikanan negeri.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kawasan seluas kira-kira 240 hektar itu akan menumpukan kepada penghasilan produk berasaskan ikan yang mempunyai nilai tambah yang lebih tinggi.
Kerajaan negeri menyasarkan projek itu dapat direalisasikan dalam tempoh lima tahun akan datang sekaligus memudahkan pemprosesan berhampiran sumber tangkapan dan menjimatkan kos pengangkutan.
”’Sekincan ialah kawasan pendaratan ikan, pada masa sama merupakan kawasan tarikan pelancongan dan juga aktiviti-aktiviti lain.
”Sini adalah industri perikanan, jadi industri-industri yang menghasilkan produk ketiga, produk kedua dan produk-produk lain berasaskan hasil laut boleh dikembangkan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan projek itu dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan merancakkan ekonomi setempat apabila mula beroperasi kelak.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Zon Industri Perikanan Sungai Lang di Sabak Bernam.