Sukar akses ke kawasan kebakaran, bomba Terengganu guna helikopter

Helikopter digunakan bagi melakukan teknik ‘water bombing’ dari udara/Foto Bomba Terengganu

DUNGUN, 25 April – Operasi pemadaman api kira-kira 34 hektar hutan yang terbakar berhampiran Kampung Kuala Abang, Terengganu pada hari
ketiga hari ini menggunakan bantuan unit udara bomba.

RINGKASAN BERITA AI
  • Helikopter dari Pengkalan Udara Bertam digunakan untuk water bombing bersama lapan pegawai.
  • Kawasan sukar diakses kenderaan kerana bentuk muka bumi dan hutan tebal.
  • Operasi melibatkan 56 pegawai serta bantuan penduduk kampung, turut memberi tumpuan melindungi sekolah berdekatan.
  • Kebakaran dipercayai akibat pembakaran terbuka oleh pihak tidak bertanggungjawab, menimbulkan kebimbangan hampir 1,000 penduduk.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Yahaya Hanafi berkata, sebuah helikopter diterbangkan dari Pengkalan Udara Bertam
bersama 8 pegawai.

Jelas beliau, khidmat pesawat berkenaan digunakan bagi melakukan teknik siraman air atau ‘water bombing’ dari udara di beberapa lokasi kebakaran yang agak sukar diakses melalui jalan darat.

Kawasan berkenaan tidak dapat diakses dengan kenderaan ekoran bentuk muka bumi dan hutan tebal.

”Setakat ini kita dapat padam lebih kurang tujuh hektar daripada 32 hektar kawasan yang terbakar, termasuk dua hektar kawasan berhampiran sebuah sekolah, jadi keseluruhan kawasan yang terlibat adalah 34 hektar.

Yahaya berkata, susulan tiupan angin dan cuaca yang terlalu panas menyebabkan kebakaran merebak dengan pantas melibatkan dua hektar lagi kawasan, namun
pihak bomba berjaya mengawalnya.

Operasi pemadaman tersebut membabitkan seramai 56 pegawai dan anggota, dibantu penduduk kampung.

Pihak bomba turut memberi tumpuan kawalan kebakaran hutan berdekatan kawasan sebuah sekolah bagi memastikan ianya tidak merebak dengan lebih meluas.

Sehingga hari ini, kira-kira tujuh hektar kawasan kebakaran berjaya dipadamkan dan menjangkakan api dapat dipadam dalam tiga atau empat hari lagi.

Kebakaran hutan berkenaan dipercayai berlaku susulan wujudnya pihak tidak bertanggungjawab melakukan aktiviti pembakaran secara terbuka, menyebabkan api merebak dengan cepat ke hutan simpan bakau berhampiran kawasan kampung.

Kebakaran sejak tiga hari lalu itu telah memusnahkan kira-kira 32 hektar kawasan hutan, sekali gus menimbulkan kebimbangan hampir 1,000 penduduk
berhampiran kampung berkenaan.