
MUSCAT, 25 April- Pantai di wilayah Mirbat, Oman bertukar merah selepas kumpulan besar udang kecil mati dan terdampar di pesisir dalam kejadian yang disahkan pihak berkuasa sebagai fenomena semula jadi tanpa unsur pencemaran alam sekitar.
- Rakaman aktivis Nasib Amer memaparkan banyak krustasea terdampar di pesisir.
- Kementerian: kemungkinan termasuk perubahan suhu mendadak, oksigen terlarut rendah dan arus laut kuat.
- Pemeriksaan Pusat Penyelidikan Perikanan Dhofar tidak menemui bukti pencemaran atau kematian spesies marin lain; krustasea amat sensitif.
Rakaman yang dimuat naik aktivis tempatan, Nasib Amer menunjukkan kawasan pantai dan air laut bertukar kemerahan dengan jumlah besar krustasea kecil terdampar di sepanjang pesisir pantai.
“Lihat warna laut dan jumlah udang mati di pantai ini,” katanya menerusi rakaman berkenaan.
Kementerian Pertanian, Perikanan dan Sumber Air Oman dalam kenyataan di platform X memaklumkan kematian krustasea kecil seperti udang atau krill itu berpunca daripada faktor semula jadi dan perubahan iklim laut.
“Kemungkinan utama termasuk perubahan suhu air yang mendadak, paras oksigen terlarut yang rendah serta arus laut kuat yang menghanyutkan organisma tersebut ke kawasan yang tidak sesuai untuk kelangsungan hidup,” menurut kenyataan itu.
Kementerian berkenaan turut memaklumkan bahawa pasukan dari Pusat Penyelidikan Perikanan di Wilayah Dhofar telah menjalankan pemeriksaan di beberapa lokasi terlibat.
“Hasil pemeriksaan tidak menunjukkan sebarang bukti pencemaran alam sekitar atau kematian spesies marin lain,” menurut kenyataan itu lagi.
Tambahnya, krustasea kecil amat sensitif terhadap perubahan keadaan persekitaran laut, sekali gus mudah terkesan apabila berlaku gangguan ekosistem secara mendadak. -Viory