Sembilan terbunuh dalam serangan Israel di Gaza

Sebuah ambulans menuju lokasi serangan Israel ke atas sebuah kenderaan polis di Khan Yunis, selatan Gaza pada 24 April 2026/ AFP

GAZA CITY, 25 April- Serangan udara Israel di beberapa kawasan di Gaza pada Jumaat mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang termasuk lima dalam insiden serangan ke atas sebuah kenderaan polis, menurut pihak pertahanan awam Gaza.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan udara dan artileri menyerang beberapa lokasi di Gaza, termasuk Al-Mawasi dan berhampiran Hospital Kamal Adwan.
  • Hospital Al-Shifa dan Nasser mengesahkan kematian mangsa dalam beberapa insiden serangan itu.
  • Walaupun gencatan senjata bermula Oktober, keganasan berlanjutan; Kementerian Kesihatan Gaza lapor sekurang-kurangnya 792 terbunuh sejak gencatan bermula.

Agensi pertahanan awam Gaza berkata serangan berlaku di beberapa lokasi berasingan di seluruh wilayah Palestin walaupun ketika gencatan senjata yang dicapai pada Oktober lalu.

“Lima orang terbunuh dan beberapa lagi cedera apabila serangan udara Israel mengenai sebuah kenderaan polis di kawasan Al-Mawasi, selatan Khan Yunis,” menurut agensi itu.

Dalam insiden berasingan, dua orang termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak terbunuh, manakala lima lagi cedera apabila bedilan artileri Israel mengenai kediaman berhampiran Hospital Kamal Adwan di utara Gaza.

“Dalam satu lagi serangan, pesawat Israel menyerang sebuah lagi rondaan polis di Gaza City, menyebabkan dua orang terbunuh dan dua lagi cedera,” menurut kenyataan itu.

Hospital Al-Shifa dan Nasser di Gaza mengesahkan jumlah kematian berkenaan.

Gencatan senjata yang bermula pada Oktober dilaporkan berjaya menghentikan sebahagian besar perang Gaza yang tercetus.

Namun, keganasan masih berterusan dengan sekurang-kurangnya 792 rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan senjata itu bermula, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. -AFP