Pangkalan tentera Colombia dibom, seorang cedera

Sebuah bas hangus selepas letupan bom berhampiran pangkalan tentera di Cali, wilayah Valle del Cauca, Colombia pada 24 April 2026/ AFP

CALI, 25 April- Satu serangan bom ke atas sebuah pangkalan tentera di bandar Cali, Colombia pada Jumaat mencederakan seorang individu, menurut pihak berkuasa kesihatan, ketika kebimbangan meningkat menjelang pilihan raya presiden 31 Mei.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wartawan AFP melihat sebuah bas hangus berhampiran pangkalan tentera; anggota dikerahkan dan jalan ditutup sebelum polis tiba.
  • Sumber tentera melaporkan dua bahan letupan dilontarkan, tetapi satu daripadanya gagal meletup.
  • Tentera mengesyaki anggota FARC yang masih aktif selepas penolakan perjanjian damai 2016 sebagai dalang serangan.
  • Bandar itu kerap menjadi sasaran kumpulan bersenjata yang berebut laluan penyeludupan dadah ke Lautan Pasifik.

AFP melaporkan wartawannya melihat sebuah bas hangus terbakar terletak beberapa meter dari pangkalan berkenaan, manakala anggota tentera dikerahkan di kawasan sekitar dan jalan-jalan ditutup sebelum polis tiba di lokasi kejadian.

Seorang sumber tentera berkata dua bahan letupan telah dilemparkan, namun salah satu daripadanya tidak meletup.

“Dua peranti telah dilontarkan, tetapi satu daripadanya gagal meletup,” menurut sumber tentera itu kepada AFP.

Tentera Colombia mengesyaki kumpulan pemberontak FARC yang masih aktif selepas penolakan perjanjian damai 2016 sebagai dalang serangan tersebut.

Bandar Cali, bandar ketiga terbesar di Colombia sering menjadi sasaran kumpulan bersenjata yang berebut laluan penyeludupan dadah ke Lautan Pasifik dengan kes penculikan dan ugutan dilaporkan kerap berlaku. -AFP