Jalinan kerjasama universiti, industri penuhi keperluan sektor pekerjaan

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir (tengah)/Foto Bernama

KANGAR, 25 April – Jalinan kolaborasi universiti bersama industri berjaya menjadikan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sebagai salah satu Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama universiti dan industri membangunkan kurikulum bersesuaian dengan keperluan industri.
  • Lebih 300 industri bekerjasama dengan UniMAP untuk memenuhi keperluan tenaga kerja.
  • Institusi menyediakan pengkhususan dalam bidang teknikal tinggi serta menyokong agenda TVET negara.
  • Perasmian Pusat Kesihatan Universiti dan pelancaran Fakulti Komputeran Cerdas perkuat pendidikan, penyelidikan, inovasi.

Kerjasama tersebut sekaligus membangunkan kurikulum bersesuaian dengan keperluan industri.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, terdapat lebih 300 industri telah bekerjasama dengan UniMAP bagi
memenuhi keperluan tenaga kerja mereka.

Tambah beliau, MTUN berperanan menyediakan pengkhususan dalam bidang-bidang teknikal tinggi selain membantu usaha kerajaan membawa agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

”Kita ada makmal yang mempunyai kemudahan terkini bagi memastikan keperluan industri dipenuhi dan usaha tersebut berjaya mewujudkan kerjasama yang baik antara kedua-dua belah pihak.

“Program ini merupakan satu langkah ke hadapan dalam usaha universiti membangunkan kurikulum tersebut.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Lawatan Kerja Menteri Pendidikan Tinggi ke UniMAP di Pauh Putra, Perlis.

Pada majlis sama, Datuk Seri Dr. Zambry turut berkesempatan merasmikan bangunan tetap Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dan melancarkan Fakulti Komputeran Cerdas (FKC) UniMAP.

FKC merupakan gabungan Jabatan Komputer dan Jabatan Matematik yang disatukan bagi memperkukuh bidang pendidikan, penyelidikan dan inovasi
berteraskan komputeran cerdas.

FKC itu menawarkan lapan program akademik merangkumi peringkat diploma, sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah dengan kekuatan dalam bidang
Kejuruteraan Komputer, Sains Data, Reka Bentuk Sistem Terbenam serta Matematik.