Kebakaran di Sandakan, bantuan kepada mangsa dipercepat – Dr. Zulkifli

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Dzulkifli Hasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 April– Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerusi agensi di bawahnya bakal menyalurkan bantuan komprehensif kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tinjauan awal oleh JAKIM dan agensi agama untuk kenal pasti kumpulan sasar bagi memastikan bantuan lebih efektif.
  • Dr. Zulkifli akan ke Sandakan pada Selasa untuk menyampaikan bantuan seperti yang telah dirancang.
  • Kebakaran 19 April memusnahkan hampir 1,000 rumah, melibatkan kira-kira 900 ketua isi rumah; YaPEIM, YADIM dan Lembaga Tabung Haji terlibat.

Menterinya, Dr. Zulkifli Hasan menyatakan bahawa pihaknya telah menjalankan tinjauan awal bagi mengenal pasti kumpulan sasar agar bantuan yang dihulurkan lebih efektif dan menepati keperluan mangsa.

“JAKIM bersama agensi agama lain telah pun turun padang sejak awal kejadian. Setakat ini, kita telah membantu dari aspek penyediaan kelas KAFA dan pendidikan agama. Insya-Allah, lebih banyak bantuan akan disalurkan selepas kita selesai mengumpul maklumat terkini mengenai kumpulan sasar dan lokasi keutamaan.”

“Pada Selasa ini, saya sendiri akan ke Sandakan untuk menyampaikan bantuan seperti yang telah dirancang,” kata Dr. Zulkifli kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Pemandu E-Hailing dan P-Hailing ‘Barakah Pit Stop’ di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini.

Tambahnya, antara agensi yang terlibat ialah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) serta Lembaga Tabung Haji.

Tragedi pada 19 April lalu itu menyaksikan hampir 1,000 buah rumah di perkampungan atas air berkenaan musnah dalam kebakaran, melibatkan kira-kira 900 Ketua Isi Rumah (KIR).