Polis panggil penganjur, peserta perhimpunan bantu siasatan insiden letupan mercun

Perhimpunan “Tangkap Azam Baki”/Foto RTM Rastwin

KUALA LUMPUR, 25 April – Polis akan memanggil penganjur serta beberapa peserta perhimpunan di ibu negara, petang tadi bagi membantu siasatan berhubung insiden letupan mercun di hadapan Kompleks SOGO yang mencetuskan kekecohan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
  • Polis berusaha mengenal pasti punca kejadian dan individu bertanggungjawab di sebalik letupan mercun.
  • Satu lagi bungkusan dipercayai mengandungi mercun belum dinyalakan ditemui di lokasi kejadian.
  • Tiada kecederaan atau kerosakan harta dilaporkan, penganjur tidak memaklumkan pihak berkuasa sebelum perhimpunan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sazalee Adam berkata, siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta individu yang bertanggungjawab.

“Pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. Siasatan akan dilengkapkan secara terperinci termasuk mengenal pasti dalang di sebalik insiden letupan mercun itu,” katanya pada sidang media di ibu negara, hari ini.

Menurut beliau, polis juga akan memanggil individu yang terlibat dalam perhimpunan berkenaan termasuk saksi bebas yang berada di lokasi ketika kejadian bagi melengkapkan siasatan.

Beliau berkata, polis turut menemukan satu lagi bungkusan dipercayai mengandungi mercun yang belum dinyalakan di lokasi kejadian.

“Semua pihak yang berkaitan dengan perhimpunan ini termasuk saksi bebas yang melihat kejadian akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya.

Sazalee berkata setakat ini tiada kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan susulan kejadian itu.

Katanya, pihak penganjur juga didapati tidak membuat sebarang pemakluman rasmi kepada pihak berkuasa sebelum perhimpunan berlangsung.

Secara keseluruhan, perhimpunan yang disertai kira-kira 300 peserta itu berjalan dalam keadaan terkawal dan aman dengan pemantauan rapi pihak polis.

Kira-kira 200 anggota keselamatan ditugaskan bagi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan orang ramai sepanjang perhimpunan berlangsung.