Sindiket seludup migran tumpas, 11 warga Indonesia ditahan

Foto Jabatan Imigresen Malaysia

PUTRAJAYA, 26 April – Satu sindiket penyeludupan migran warga Indonesia berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi operasi khas pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sindiket guna laluan berlapis dan pemalsuan cap kemasukan untuk mengaburi pihak berkuasa.
  • Operasi membabitkan Terminal Bersepadu Gombak dan Terminal Bersepadu Selatan.
  • Sebanyak 11 individu ditahan, lima di TBG dan enam di TBS; sebuah kenderaan turut disita.
  • Migran berumur 27 hingga 60 tahun membayar RM3,500 hingga RM4,000 seorang; disiasat di bawah ATIPSOM dan Akta Imigresen.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban mendedahkan, sindiket itu menggunakan taktik laluan berlapis dan pemalsuan cap kemasukan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Menurutnya, operasi melibatkan dua lokasi termasuk Terminal Bersepadu Gombak (TBG), Selangor dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS), ibu negara.

Berdasarkan risikan, pihaknya mengesan pergerakan tiba sekumpulan warga Indonesia ke Lembah Klang dari Kelantan, menaiki bas ekspres.

“Seramai 11 individu ditahan dengan lima daripadanya termasuk seorang yang menguruskan pergerakan dan logistik migran di ibu negara ditahan di TBG. Manakala enam lagi individu diberkas di TBS.

Sebuah kenderaan yang digunakan untuk mengatur dan mengangkut migran ke lokasi seterusnya turut disita” katanya

Beliau berkata, sindiket berkenaan dikesan mengubah modus operandi daripada menggunakan jalan laut kepada pendekatan lebih kompleks melibatkan kombinasi laluan udara dan darat secara berlapis.

“Sindiket ini mengelak menggunakan penerbangan terus ke Malaysia kerana kebanyakan migran telah disenaraihitam, sebaliknya menggunakan laluan transit seperti Singapura dan Hat Yai, Thailand sebelum masuk ke Kelantan melalui laluan haram,” ujarnya.

Siasatan mendapati migran akan ditempatkan di rumah transit sebelum diseludup masuk ke negara ini melalui sempadan Bukit Bunga, Tanah Merah, seterusnya dibawa ke ibu negara menggunakan beberapa syarikat bas ekspres secara berperingkat pada waktu malam.

Datuk Zakaria turut mendedahkan, kesemua migran berumur antara 27 hingga 60 tahun dipercayai membayar antara RM3,500 hingga RM4,000 seorang bagi memasuki Malaysia secara tidak sah.

Mereka yang ditahan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan lanjut di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.

Pihaknya percaya terdapat penglibatan warga tempatan dalam membantu sindiket termasuk dalam urusan pembelian tiket bas dan penyelarasan logistik, dengan usaha mengesan individu terlibat sedang giat dijalankan.