Pemandu maut traktor terbalik dalam kolam sawit

FOTO JBPM PAHANG

KUANTAN, 26 AprilSeorang pemandu traktor maut selepas kenderaan dipandunya hilang kawalan sebelum terbalik ke dalam kolam di sebuah kilang sawit di Kampung Tersang, Raub, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Traktor dilaporkan hilang kawalan semasa mengundur lalu terbalik ke dalam kolam, menyebabkan pemandu dipercayai tersepit.
  • Mangsa, Mohamad Syariffudin Jemain, 37, disahkan meninggal dunia di lokasi selepas dipercayai lemas.
  • Bedah siasat ditetapkan di Unit Forensik Hospital Raub; kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Raub, Penguasa Polis Supt Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10 malam.

Mangsa dikenal pasti sebagai Mohamad Syariffudin Jemain, berusia 37 tahun.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa sedang mengundurkan jentera sebelum ia hilang kawalan lalu terbalik ke dalam kolam berhampiran.

“Mangsa dipercayai tersepit dan lemas sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Bedah siasat dijalankan pada pukul 10 pagi ini di Unit Forensik Hospital Raub bagi mengenal pasti punca kematian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.11 malam.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub tiba di lokasi pada pukul 9.38 malam, namun mangsa telah dikeluarkan oleh pekerja kilang sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya.