
BUKIT KAYU HITAM, 26 April – Sepuluh individu termasuk seorang pegawai kanan agensi penguat kuasa yang bertugas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam ditahan dalam operasi khas, semalam.
- Sindiket menyeludup warga asing melalui pintu masuk darat, menggunakan ejen dan 'transporter' yang membawa masuk dari Thailand ke Malaysia.
- Pihak berkuasa merampas pasport, cap imigresen, 12 telefon bimbit, wang tunai 30,000 rupee India dan beberapa kenderaan.
- Sindiket mengenakan bayaran RM1,000 per individu, memberi RM400 kepada pegawai; kerugian dianggarkan RM4.1 juta; kes disiasat di bawah undang-undang.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam kenyataan memaklumkan, operasi dijalankan bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) susulan maklumat awam dan risikan selama sebulan.
Menurut kenyataan itu, pasukan operasi menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Thailand yang dipercayai ‘ejen’ dikenali sebagai ‘Toyu’ serta seorang lelaki tempatan yang disyaki bertindak sebagai ‘transporter’.
“Turut ditahan lima lelaki warganegara India dan seorang lelaki warga Pakistan.
“Seorang pegawai kanan JIM yang bertugas di ICQS Bukit Kayu Hitam turut ditahan kerana dipercayai berperanan sebagai ‘pemudah cara’,” menurut kenyataan itu.
Semakan awal mendapati seorang lelaki warga India yang ditahan merupakan individu yang telah disenaraihitam, manakala seorang lelaki warga Pakistan menggunakan e-visa dipercayai palsu.
“Warganegara asing lain yang ditahan pula merupakan imigran larangan,” menurut kenyataan itu.
Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut menyita lima pasport India, satu pasport Pakistan, Pas Sempadan Malaysia, Pas Sempadan Thailand, cap keselamatan imigresen, 12 unit telefon bimbit serta wang tunai 30,000 rupee India.
Turut disita sebuah kereta jenis Nissan Sentra serta dua motosikal Honda Wave dan Honda EX5 yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
“Sindiket dipercayai membawa masuk warganegara asing terutama dari India melalui pintu masuk darat secara terancang.
“Ejen bertindak menyelaras pergerakan, manakala ‘transporter’ yang menyamar sebagai pemandu teksi membawa masuk warga asing dari Thailand ke Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Menurut JIM, setibanya di pintu masuk negara, pegawai yang berperanan sebagai ‘pemudah cara’ akan menurunkan endorsement dalam pasport walaupun tidak memenuhi syarat kemasukan.
“Sindiket mengenakan bayaran RM1,000 bagi setiap individu dan RM400 diberikan kepada pegawai bagi setiap pasport yang diluluskan.
“Kegiatan ini dipercayai beroperasi sejak awal tahun dan menyebabkan ketirisan hasil negara dianggarkan sebanyak RM4.1 juta,” menurut kenyataan itu lagi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 26A dan 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 8(3) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.
Kesemua suspek dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Kedah untuk tindakan lanjut.
Dalam masa sama, empat individu tempatan turut dikeluarkan notis untuk hadir membantu siasatan.
JIM menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak termasuk pegawainya sendiri yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran demi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terus terpelihara.