Program Vetri MADANI dilancar, perkukuh kemahiran komuniti India

Majlis Pelancaran Vetri MADANI/ Foto FB Ramanan Ramakrishnan Official Media

KUALA LUMPUR, 25 April – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRDCorp) memperuntukkan RM10 juta bagi melatih 2000 peserta menerusi Program Vetri MADANI.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program khusus untuk komuniti India menumpu AI, automasi, keselamatan siber, semikonduktor dan kejuruteraan elektronik lanjutan.
  • Latihan dikendalikan secara fizikal dan hibrid, memudahkan peserta yang tinggal jauh mendapat akses.
  • Peserta tamat latihan digabungkan dengan MyFutureJobs berasaskan AI bagi padanan kerja dan peluang pendapatan lebih baik.
  • Menteri menggesa majikan swasta sokong kerja fleksibel termasuk bekerja dari rumah seperti dicadangkan perdana menteri.

Menterinya, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, program latihan itu adalah khusus untuk komuniti India yang akan menumpukan bidang berkaitan kecerdasan buatan (AI), automasi, keselamatan siber, semikonduktor, kejuruteraan lanjutan elektronik termasuk pelbagai latihan lain yang berimpak tinggi.

“Latihan ini akan dikendalikan secara fizikal dan juga hibrid. Jadi tidak menyusahkan bagi mereka yang jauh untuk dapatkan latihan berkenaan” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Vetri MADANI di Brickfields.

Tambahnya, program latihan tersebut adalah terhad dan beliau menyeru masyarakat India merebut peluang dengan mendaftar di laman rasmi HRDCorp.

“Hari ini, mereka yang mempunyai kemahiran seperti AI prompting dengan menggunakan ChatGPT, Gemini, Deepseek dan Microsoft Copilot mampu menghasilkan pelbagai kandungan berkualiti tinggi daripada teks, grafik, “website design” sehinggalah video promosi tanpa perlu bergantung kepada kaedah konvensional,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata peserta yang berjaya menamatkan latihan akan digabungkan dengan sistem MyFutureJobs yang menggunakan AI bagi membuat padanan kerja sekali gus menawarkan peluang pekerjaan yang lebih sesuai, selain meningkatkan pendapatan.

Turut hadir adalah Datuk Shamir Aziz, Ketua Eksekutif HRD Corp.

Sementara itu, Datuk Seri Ramanan turut menyeru lebih banyak majikan swasta menyokong saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mempertimbangkan pelaksanaan aturan kerja fleksibel seperti sektor awam, termasuk bekerja dari rumah (BDR).

“Memang Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan serta membuat pengumuman berhubung perkara ini. Kita menggalakkan semua syarikat swasta untuk turut mengamalkan kerja dari rumah sekiranya bersesuaian.

“Banyak syarikat gergasi dan multinasional telah pun melaksanakan amalan kerja dari rumah, termasuk kebanyakan institusi perbankan. Kita berharap syarikat swasta yang lain juga dapat memberikan sokongan dan mempertimbangkan pelaksanaannya”, katanya.