Tan Sri Abdul Aziz terima Anugerah Tokoh Maal Hijrah

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof

SHAH ALAM, 17 Jun – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1448 Hijrah kepada bekas Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, yang merupakan anak kelahiran Sabak Bernam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tan Sri Abdul Aziz terkejut dan bersyukur diiktiraf atas khidmat sejak 1995 dalam pelbagai agensi kerajaan.
  • Memperkenalkan pemakaian tudung bagi anggota polis wanita ketika bertugas, yang kemudiannya menjadi amalan berterusan.
  • Berkhidmat di Selangor lima tahun sebagai Pegawai Kewangan Negeri dan tiga tahun sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.
  • Cabaran terbesar termasuk pengurusan isu keselamatan semasa Akta Keselamatan Dalam Negeri dan mengendalikan pilihan raya luar jangka.

Anugerah itu disampaikan sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor yang berlangsung di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, malam tadi.

Tan Sri Abdul Aziz yang ditemui berkata, beliau tidak menyangka khidmat yang dicurahkan sejak tahun 1995 dalam pelbagai agensi kerajaan termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Pilihan Raya serta pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor mendapat perhatian sehingga melayakkan beliau menerima penghormatan berkenaan.

“Saya tidak menyangka bahawa khidmat saya selama ini diperhatikan, dilihat dan dinilai. Saya bersyukur dan berasa gembira kerana khidmat sepanjang tempoh tersebut diberi penghormatan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

“Saya telah lama berkhidmat di Selangor, iaitu lima tahun sebagai Pegawai Kewangan Negeri dan tiga tahun sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri. Saya memang anak Selangor, lahir di Selangor, dan kasih sayang serta hormat saya kepada negeri ini sangat tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Sepanjang kerjayanya, antara sumbangan yang paling dikenang ialah usaha memperkenalkan pemakaian tudung dalam kalangan anggota polis wanita ketika bertugas, yang kemudiannya menjadi amalan sehingga hari ini.

Beliau yang pada ketika itu memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri berkata, langkah itu dilaksanakan hasil perbincangan bersama Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia bagi memberi ruang kepada anggota wanita Muslim memakai tudung ketika menjalankan tugas rasmi.

Mengulas cabaran sepanjang perkhidmatannya pula, Tan Sri Abdul Aziz menyifatkan pengurusan isu keselamatan negara ketika Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih berkuat kuasa, selain pengalaman mengendalikan pilihan raya dalam situasi luar jangka, sebagai antara pengalaman paling mencabar dan memberi kesan mendalam.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan berangkat menghadiri Majlis Ambang Hijrah yang dimulakan dengan bacaan doa akhir tahun yang dipimpin Imam 1 Masjid Sultan Salahuddun Abdul Aziz Shah, Abu Dzar Adanan.

Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan doa awal tahun Hijrah selepas solat Maghrib berjemaah yang dipimpin Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Datuk Muhammad Farhan Wijaya.

Baginda turut berkenan mendengar ceramah khas Maal Hijrah yang disampaikan Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin.

Ceramah itu menyentuh penghayatan peristiwa hijrah sebagai asas pembentukan masyarakat yang lebih bersatu, progresif dan berakhlak mulia.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan NegerinDatuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Datuk Setia Salehuddin Saidin dan barisan Exco kerajaan negeri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.