
KAZAN, 17 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kazan untuk lawatan kerja dua hari ke ibu negara dan bandar terbesar di Tatarstan, Rusia itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia, yang berlangsung dari 17 hingga 18 Jun ini.
- Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama Forum Perniagaan ASEAN-Rusia yang menghimpunkan lebih 400 pemimpin korporat dan perniagaan.
- Beliau turut menghadiri resepsi dihoskan Presiden Rusia dan mengadakan kunjungan hormat serta mesyuarat dua hala dengan pemimpin Rusia.
- Sidang ulang tahun ke-35 memberi fokus kepada kerjasama ekonomi, tenaga, keterjaminan makanan, ekonomi digital, sains serta dokumen utama seperti Deklarasi Kazan dan Pelan 2026-2030.
Pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kazan pada 10.20 malam waktu tempatan (3.20 pagi waktu Malaysia pada Rabu).
Ketibaan Perdana Menteri disambut Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Cheong Loon Lai serta delegasi Rusia diketuai Rais Republik Tatarstan Rustam Minnikhanov, yang diiringi oleh Menteri Digital Tatarstan Ilya Nachvin, Datuk Bandar Kazan Ilsur Metshin dan para pegawai Jabatan Protokol Negara berkenaan.
Beliau diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta para pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar.
Datuk Seri Anwar turut diraikan dengan sambutan tradisional masyarakat Tatar Rusia dengan dihidangkan manisan chak-chak dan roti karavay, simbol adat turun-temurun bagi memuliakan tetamu. Sejurus tiba, Perdana Menteri mengadakan pertemuan singkat dengan Rustam Minnikhanov.
Hari ini, Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan ASEAN-Rusia yang menghimpunkan lebih 400 pemimpin korporat dan perniagaan dari negara ASEAN serta Rusia.
Beliau turut dijadual menghadiri resepsi sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia Ke-35 yang dihoskan Presiden Rusia, Vladimir Putin sebelum mengadakan kunjungan hormat dan mesyuarat dua hala dengan pemimpin negara itu.
Sidang kemuncak berkenaan diadakan bersempena ulang tahun ke-35 hubungan dialog ASEAN-Rusia dan dijangka memberi tumpuan kepada kerjasama ekonomi, perdagangan, pelaburan, tenaga,keterjaminan makanan, ekonomi digital serta sains dan teknologi.
Lawatan ini merupakan kunjungan ketiga Perdana Menteri ke Rusia sejak 2024 dan mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan strategik dengan Rusia.
Terdahulu Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, sidang kemuncak itu menandakan ulang tahun ke-35 hubungan ASEAN-Rusia yang bermula di Kuala Lumpur pada 1991.
Mesyuarat tersebut akan memberi peluang kepada ASEAN dan Rusia untuk meneliti semula kemajuan yang dicapai sejak 35 tahun lepas dan merangka hala tuju kerjasama masa depan di bawah Perkongsian Strategik ASEAN-Rusia.
“Perbincangan dijangka menumpukan kepada usaha mengukuhkan kerjasama praktikal dalam perdagangan dan pelaburan, tenaga, keterjaminan makanan, ekonomi digital, sains dan teknologi, budaya, pendidikan, pelancongan dan interaksi langsung antara sesama rakyat,” menurut kenyataan itu.
Sidang kemuncak itu dijangka menerima pakai empat dokumen utama iaitu Deklarasi Kazan mengenai Ulang Tahun ke-35 Hubungan ASEAN-Rusia, Kenyataan Bersama mengenai Kerjasama Tenaga, Kenyataan Bersama mengenai Kerjasama Kebudayaan dan Pelan Tindakan Komprehensif untuk Melaksanakan Perkongsian Strategik ASEAN-Rusia 2026-2030.
Menurut Wisma Putra, dokumen tersebut akan menjadi panduan kerjasama ASEAN-Rusia bagi tahun-tahun yang akan datang dan menyokong usaha untuk membina perkongsian yang lebih berdaya tahan dan berorientasikan masa depan.
“Penyertaan Malaysia mencerminkan komitmen negara untuk memperkukuh hubungan luar ASEAN, mengetengahkan Kepusatan ASEAN dan memajukan kerjasama praktikal dengan Rakan Dialog dalam persekitaran global yang semakin kompleks,” tambah kenyataan itu.