
KUALA LUMPUR, 17 Jun – Bahang Piala Dunia 2026 semakin hangat apabila peminat bola sepak di Malaysia teruja dengan aksi cemerlang beberapa pasukan yang dianggap ‘underdog’ pada perlawanan pertama peringkat kumpulan.
- Keputusan mengejut pasukan underdog seperti seri Sepanyol lawan Cape Verde menjadikan saingan sukar diramal dan lebih menarik.
- Peminat berharap momentum pasukan underdog dapat diteruskan untuk mencipta lebih banyak kejutan sepanjang kejohanan.
- Kagum dengan semangat juang Maghribi, Cape Verde, Mesir, Jepun dan Korea Selatan ketika menentang pasukan besar.
- Keputusan seri menggambarkan peningkatan mutu bola sepak negara-negara kecil dan menjadikan setiap perlawanan lebih mendebarkan.
Rata-rata peminat berharap momentum pasukan-pasukan tersebut dapat diteruskan bagi mencipta lebih banyak kejutan sepanjang kejohanan berlangsung.
Seorang peminat, Muhammad Fakhrullah Azri, 32, berkata, keputusan mengejut pasukan underdog menentang pasukan gergasi menjadikan saingan Piala Dunia kali ini lebih menarik dan sukar diramal.
“Semalam kita menyaksikan pasukan Sepanyol sekadar mencatat keputusan seri menentang Cape Verde. Keputusan itu membuktikan bahawa dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku dan sukar diramal,” katanya ketika ditemui RTM di ibu negara, hari ini.
Seorang lagi peminat, Muhammad Mazlan Mahadar, 32, kagum dengan semangat juang yang dipamerkan pasukan seperti Maghribi, Cape Verde, Mesir, Jepun dan Korea Selatan ketika berdepan pasukan besar.
“Pasukan yang dianggap bukan pilihan kini semakin berani dan mampu memberi saingan sengit kepada lawan yang lebih kuat,” katanya.
Bagi pesara, Idrul Fathi Idris, 61, keputusan seri yang dicatatkan pasukan underdog ke atas lawan masing-masing menunjukkan peningkatan mutu bola sepak negara-negara tersebut.
“Keputusan seperti ini menjadikan setiap perlawanan lebih mendebarkan untuk ditonton. Ia sekali lagi mengingatkan bahawa bola sepak sentiasa penuh dengan kejutan,” katanya.