
KUALA LUMPUR, 25 April – Kemudahan ruang singgah dan rehat khusus untuk pemandu dan penunggang motosikal e-hailing serta p-hailing iaitu Barakah Pit Stop akan diperluas.
- MAIWP menyalurkan RM89,000 bantuan minyak pelincir dan RM100 kepada 200 pemandu serta penunggang motosikal sebagai penghargaan.
- Barakah Pit Stop dilancarkan pada Ramadan sebagai ruang rehat dan pusat penyebaran dakwah untuk golongan muda.
- Makanan dan minuman berbungkus percuma disediakan setiap hari kecuali hujung minggu untuk meringankan beban pemandu dan penunggang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata kemudahan itu akan ditambah di masjid-masjid yang lain termasuk di Bandar Tun Razak.
“Semoga usaha ini dapat memberikan manfaat yang lebih banyak kepada warga p-hailing, e-hailing serta pemandu teksi.
“Saya melihat maklum balas yang diterima amat baik dan positif. Inilah masanya untuk kita menyantuni semua rakyat Malaysia, termasuk mereka yang banyak memberikan perkhidmatan kepada kita, seperti penghantaran makanan serta pengangkutan ke pelbagai destinasi”, katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Pemandu E-Hailing, P-Hailiing di Barakah Pit Stop@Masjid Wilayah Persekutuan.
Dalam majlis itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menyalurkan sebanyak RM89,000 bantuan minyak pelincir dan wang tunai RM100 kepada 200 pemandu dan penunggang motosikal perkhidmatan berkenaan bagi menghargai sumbangan mereka berada di jalanan bagi memenuhi keperluan dan pergerakan masyarakat setiap hari.
Barakah Pit Stop telah dilancarkan pada Ramadan lalu sebagai ruang rehat dan pusat penyebaran dakwah golongan muda.
Makanan dan minuman berbungkus percuma juga akan diberi bagi meringankan beban golongan berkenaan setiap hari kecuali pada cuti hujung minggu.
Turut menjayakan inisiatif itu ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) PEKERTI, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).