
BUKIT MERTAJAM, 25 April– Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) kini diiktiraf sebagai Pusat Transformasi Digital (DTC) oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).
- Kerjasama MCMC dan ITU diperkuat untuk menyediakan program akreditasi latihan dalam talian meningkatkan kemahiran digital rakyat.
- Malaysia berhasrat bertanding mempertahankan kerusi Ahli Majlis ITU; pengundian dijadualkan November di Doha, Qatar.
- Ketersambungan 4G negara kini mencecah 99.7 peratus.
- Beberapa pusat NADI dilengkapi internet berkelajuan tinggi sehingga 2 Gbps bagi menyokong transformasi digital komuniti.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata pengiktirafan antarabangsa itu bakal memperkukuh kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan ITU, terutama dalam menyediakan program akreditasi latihan dalam talian bagi meningkatkan kemahiran digital rakyat.
“Tahun ini merupakan tahun yang signifikan bagi Malaysia dalam kerangka Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU). Seperti yang diumumkan sebelum ini, Malaysia berhasrat untuk bertanding bagi mempertahankan kerusi Ahli Majlis ITU.”
“Keputusan serta tempoh pengundian bagi jawatan tersebut dijadualkan berlangsung pada November ini di Doha, Qatar,” kata Datuk Fahmi kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Sebaran Maklumat Nasional Nadi Kubang Semang, di sini.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan infrastruktur digital, beliau memaklumkan ketersambungan 4G negara kini telah mencecah 99.7 peratus.
Selain itu, beberapa buah pusat NADI kini turut dilengkapi kemudahan internet berkelajuan tinggi sehingga 2 Gbps bagi menyokong transformasi digital komuniti.