
KUALA LUMPUR, 25 April – Kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi yang dipercayai menggunakan taktik manipulasi rantaian bekalan bagi meraih keuntungan besar berjaya dibongkar dalam operasi khas di Selangor, semalam.
- Operasi Ops Taring Bravo 1 tahan lapan individu dan rampas hampir 125,000 liter diesel.
- Sindiket aktif sejak awal tahun, menyasarkan pasaran industri melalui manipulasi rantaian bekalan.
- Diesel dikumpul berperingkat, dijual pukal sekitar RM4 seliter, kemudian diedarkan semula sehingga RM5 seliter.
- Rampasan termasuk lori tangki, tangki simpanan dan peralatan pemindahan minyak bernilai mencecah RM1.8 juta, diserahkan kepada KPDNKS.
Operasi Ops Taring Bravo 1 yang dilaksanakan polis di tiga premis sekitar Shah Alam dan Sungai Buloh membawa kepada penahanan lapan individu serta rampasan hampir 125,000 liter diesel.
Komander WCB/PSK Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, sindiket berkenaan dikesan aktif sejak awal tahun ini dengan menyasarkan pasaran industri.
“Sindiket ini memanipulasi rantaian bekalan sebelum mengedar semula diesel bersubsidi ke sektor industri pada harga lebih tinggi bagi mengaut keuntungan,” katanya.
Siasatan awal mendapati diesel dikumpul secara berperingkat sebelum dijual secara pukal sekitar RM4 seliter kepada pihak ketiga, dan kemudiannya diedarkan semula sehingga RM5 seliter.
Selain tangkapan, operasi itu turut merampas aset termasuk lori tangki, tangki simpanan serta peralatan pemindahan minyak dengan nilai keseluruhan mencecah RM1.8 juta.
Operasi bersepadu itu turut melibatkan Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, dengan semua rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk tindakan lanjut.