CHERAS, 28 Disember -Polis menahan seorang pengasuh wanita dipercayai terlibat kes penderaan beberapa bayi berusia enam hingga sembilan bulan di sebuah taska di Alam Indah.
Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Aidil Bolhassan berkata, suspek berusia 26 tahun itu ditahan pada 16 Disember lalu susulan laporan yang diterima polis.
"Setakat ini tiga laporan polis diterima berkaitan kes berkenaan dan siasatan awal mendapati hanya seorang suspek dikenal pasti terlibat," katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dikendalikan oleh Bahagian D11, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan seorang bayi berusia enam bulan dipercayai didera oleh pengasuh di taska terbabit.
Rakaman itu mencetuskan kemarahan orang ramai serta kebimbangan dalam kalangan ibu bapa, selain timbul dakwaan bahawa beberapa bayi lain turut menjadi mangsa di pusat jagaan berkenaan.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan dan menggesa individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes tampil membantu siasatan.