
PUTRAJAYA, 6 April – Tiada sebarang permit khas akan dikeluarkan kepada ulat foto di kawasan KLCC dan kawasan tumpuan pelancong di ibu kota atas faktor keselamatan.
- Keputusan berdasarkan isu keselamatan di persimpangan yang tidak sesuai untuk aktiviti mengambil gambar.
- PBT pasang CCTV tambahan dan mendapati kekurangan keselamatan untuk aktiviti ulat foto.
- Sistem pembesar suara membuat pengumuman dalam empat hingga lima bahasa setiap sepuluh minit mengingatkan orang awam.
- Operasi bersepadu polis, PBT dan agensi lain dijalankan berkala, diperluas ke lokasi pelancong; ada tangkapan identiti palsu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, keputusan itu dibuat susulan lawatan ke tapak bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud, serta tinjauan ke KLCC bersama pasukan keselamatan bagi menilai infrastruktur kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan.
“Melalui lawatan ke tapak tersebut, apa yang kita lihat, isunya adalah isu keselamatan kerana di persimpangan tersebut tidak selamat untuk lakukan aktiviti mengambil gambar.
“Oleh sebab itu, atas dasar keselamatan, saya rasa kita tak boleh pertimbangkan untuk bagi lesen,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Inisitif Penguasaan Bahasa Antarabangsa Untuk Generasi Muda Putrajaya dan Bantuan Mobiliti Komuniti Putrajaya di sini.
Menurut Hannah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah memasang CCTV tambahan di kawasan simpang terbabit dan mendapati terdapat kekurangan dari segi keselamatan untuk aktiviti berkenaan.
Selain pemantauan melalui CCTV, sistem pembesar suara turut dipasang dengan pengumuman dibuat dalam empat hingga lima bahasa setiap 10 minit bagi memberi peringatan kepada orang awam dan pelancong agar tidak menggunakan perkhidmatan ulat foto.
Pada masa sama, operasi bersepadu melibatkan pihak polis, PBT serta agensi berkaitan dilaksanakan secara berkala dan akan diperluas secara berperingkat ke lokasi lain yang turut menjadi tumpuan pelancong.
“Saya juga telah melihat profil-profil yang telah ditangkap, sekarang ini bukan sahaja isu tiada lesen tetapi menggunakan identiti palsu. Oleh sebab itu, tak boleh kita pertimbangkan lesen ulat foto,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya terdapat keperluan untuk menyediakan perkhidmatan berkaitan pelancong, pihak PBT akan berurusan terus dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).