Cuaca panas ekstrem: Modi seru langkah berjaga-jaga

Narendra Modi/AFP

NEW DELHI, 27 Mei- Perdana Menteri India, Narendra Modi menyuarakan kebimbangan mengenai kesan cuaca panas melampau yang melanda negara itu ketika 45 bandar paling panas di dunia direkodkan semuanya di India dengan suhu melebihi 43 darjah celsius pada tengah hari Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kanak-kanak, warga emas dan pekerja luar paling terdedah kepada kesan cuaca panas melampau.
  • Sekurang-kurangnya 16 orang maut akibat strok haba di Telangana minggu lalu.
  • IMD rekod suhu tertinggi 47.4°C di Banda, 3.8°C di atas purata; beberapa kawasan capai 40°C.
  • Risiko kesihatan serius termasuk dehidrasi, kegagalan organ; IMD juga amarkan kekurangan air dan gesa penjimatan.

“Beberapa kawasan di India sedang menyaksikan suhu yang melonjak tinggi serta cabaran yang datang bersamanya,” katanya dalam kenyataan pejabat Perdana Menteri sambil menyeru orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga.

Beliau berkata kanak-kanak, warga emas dan individu yang bekerja di luar bangunan merupakan golongan paling terdedah kepada kesan cuaca berkenaan.

Sekurang-kurangnya 16 orang dilaporkan maut akibat strok haba di negeri Telangana minggu lalu, menurut pihak berkuasa tempatan.

Jabatan Meteorologi India (IMD) merekodkan suhu tertinggi 47.4 darjah celsius di Banda, Uttar Pradesh iaitu 3.8 darjah celsius lebih tinggi berbanding paras normal.

IMD turut memaklumkan bandar berkenaan pernah mencatat suhu 48.2 darjah celsius awal bulan ini, manakala suhu di New Delhi mencecah 40 darjah celsius pada tengah hari Rabu.

Cuaca panas melampau itu turut meningkatkan risiko kesihatan serius termasuk dehidrasi yang boleh membawa kepada kegagalan organ, selain dikaitkan dengan gelombang haba yang semakin panjang dan ekstrem akibat perubahan iklim.

Tentera India turut dikerahkan memadam kebakaran hutan di Kasauli yang berlarutan lebih 16 jam dengan bantuan helikopter bagi mengawal kebakaran tersebut.

IMD turut memberi amaran mengenai risiko kekurangan bekalan air susulan sungai yang semakin kering, penurunan paras air bawah tanah dan keadaan kemarau serta menggesa penjimatan air.

India turut merekodkan suhu rasmi tertinggi pernah dicatatkan iaitu 51 darjah celsius di Phalodi, Rajasthan pada 2016. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.