
WASHINGTON, 24 November – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengarahkan supaya pelaksanaan hukuman mati di peringkat persekutuan dipercepatkan, ketika mengkritik keputusan Gabenor California, Gavin Newsom, menukar hukuman mati lebih 500 banduan kepada penjara seumur hidup.
- Trump mengarahkan Peguam Negara supaya mempercepatkan pelaksanaan hukuman mati persekutuan.
- Beliau berkata hukuman mati perlu dilaksanakan dengan pantas dan pasti selepas keputusan juri.
- Pejabat Newsom menegaskan banduan yang hukumannya ditukar kepada penjara seumur hidup tidak akan dibebaskan.
- Pejabat gabenor mendakwa pengampunan Trump mungkin dipengaruhi penderma kaya, pelobi dan balasan politik.
Trump membuat pengumuman itu ketika berucap di Jabatan Kehakiman pada Isnin, dalam satu acara yang turut dihadiri ahli keluarga mangsa jenayah yang membantah keputusan Newsom.
Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai antara tindakan ketidakadilan paling mengejutkan dalam sejarah negara berkenaan.
“Antara banduan hukuman mati yang diberikan pengampunan itu termasuk lebih 110 pembunuh kanak-kanak, lebih 100 perogol yang membunuh mangsa mereka serta ramai pembunuh bersiri,” katanya.
Trump turut mengarahkan Peguam Negara supaya “mempercepatkan pelaksanaan hukuman mati persekutuan”.
“Selepas juri membuat keputusan, hukuman mati mesti dilaksanakan dengan pantas dan pasti,” katanya.
Bagaimanapun, pejabat Newsom mempertahankan keputusan itu dengan menegaskan semua banduan yang hukuman matinya ditukar kepada penjara seumur hidup akan terus menjalani hukuman di penjara dan tidak akan dibebaskan.
Sebaliknya, pejabat gabenor itu mendakwa penjenayah yang menerima pengampunan daripada Trump boleh dibebaskan susulan pengaruh penderma kaya dan pelobi, selain membangkitkan dakwaan amalan balasan politik.
Newsom sebelum ini mengumumkan keputusan menukar hukuman mati lebih 500 banduan di California kepada penjara seumur hidup tanpa parol.
California mempunyai 548 banduan dalam senarai menunggu hukuman mati, antara jumlah terbesar di dunia.
Bagaimanapun, negeri itu tidak melaksanakan hukuman mati sejak kira-kira 20 tahun lalu meskipun mahkamah masih menjatuhkan hukuman berkenaan bagi kes pembunuhan dan jenayah berat lain. – AFP