
JAKARTA, 24 November – Pasukan penyelamat menemukan 26 mayat dari runtuhan kilang gula-gula PT Fonusa Agung Mulia di wilayah Banten, setakat petang Isnin, susulan kebakaran yang berlaku Sabtu lalu.
- Operasi mencari dan menyelamat sukar dijalankan kerana kawasan masih panas dan bangunan yang rosak berisiko runtuh.
- Seorang pekerja berkata kebakaran dipercayai bermula selepas unit pendingin hawa meletup, menyebabkan bekalan elektrik terputus.
- Punca kebakaran masih disiasat; operasi dihentikan sementara untuk pemeriksaan keselamatan dan dijadualkan bersambung pagi Selasa.
Puluhan pekerja masih belum ditemukan, manakala 29 pekerja dilaporkan terselamat dalam kejadian yang memusnahkan sebahagian besar bangunan kilang pengeluar gula-gula Milkita itu.
Operasi mencari dan menyelamat berdepan kesukaran berikutan masih terdapat kawasan panas di lokasi serta risiko bangunan yang rosak runtuh.
Seorang pekerja yang isterinya masih hilang, Farhan Firmansyah berkata, kebakaran dipercayai bermula selepas unit pendingin hawa meletup sehingga menyebabkan bekalan elektrik terputus.
“Pendingin hawa meletup dan asap naik ke atas. Isteri saya berada di tingkat dua dan lampu terus terpadam. Dia tidak dapat mencari jalan keluar kerana keadaan gelap dan tiada laluan untuk menyelamatkan diri,” katanya.
Sisa mayat yang ditemukan dibawa ke Hospital Bhayangkara untuk proses pengecaman, manakala ahli keluarga diminta memberikan sampel DNA bagi membantu mengenal pasti mangsa.
Punca kebakaran masih disiasat, namun kerosakan elektrik membabitkan unit pendingin hawa dipercayai menjadi antara kemungkinan.
Operasi mencari dan menyelamat dihentikan sementara pada petang Isnin bagi pemeriksaan keselamatan dan dijadualkan disambung semula pagi Selasa.
Terdahulu, menurut pihak bomba, panggilan kecemasan diterima kira-kira pukul 4.30 petang Sabtu dan mendapati bangunan berkenaan sudah dijilat api ketika tiba di lokasi.
Gabenor wilayah Banten, Andra Soni berkata, kira-kira 60 orang dipercayai berada di dalam kilang ketika kebakaran berlaku.
Fonusa Agung Mulia merupakan anak syarikat UNIFAM, antara syarikat makanan pengguna utama di Indonesia.
Insiden kebakaran maut bukan perkara baharu di negara itu.
Pada Disember tahun lalu, sekurang-kurangnya 22 orang maut dalam kebakaran bangunan tujuh tingkat di Jakarta yang dipercayai berpunca daripada letupan bateri dron.
Pada 2023, sekurang-kurangnya 13 orang pula maut dalam letupan di sebuah kilang pemprosesan nikel di timur Indonesia.- VIORY