KUANTAN, 28 Disember - Seorang lelaki warga emas maut manakala sembilan individu lain terselamat dalam kemalangan jalan raya melibatkan tiga kenderaan di Jalan Kuantan–Seremban, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.25 pagi.
Sebuah lori treler dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar dua buah kereta, termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Menurutnya mangsa yang maut dikenal pasti sebagai So’id Lebai Hamid, 68, yang merupakan penumpang belakang MPV dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mangsa lain termasuk pemandu serta penumpang kedua-dua kenderaan dan pemandu lori treler dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan," katanya menerusi kenyataan.
Siasatan awal mendapati pemandu lori treler cuai ketika memandu sehingga menyebabkan kenderaan itu terbabas ke laluan bertentangan.
Pemandu terbabit mempunyai 16 saman trafik atas pelbagai kesalahan.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.