KUALA LUMPUR, 29 Disember - Siasatan awal berhubung kes letupan dipercayai menggunakan peranti letupan buatan sendiri atau IED di kawasan parkir berhampiran Desa Palma, Nilai minggu lalu setakat ini tidak menunjukkan sebarang unsur ekstremisme.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu berkemungkinan terpencil dan tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana rangkaian jenayah atau kumpulan terancang.
“Setakat ini, ia berkemungkinan merupakan satu kejadian terpencil dan tidak dikaitkan dengan mana-mana kumpulan.Buat masa ini, ia tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan atau organisasi. Namun begitu, pihak polis sedang menjalankan siasatan secara serius untuk mendedahkan kebenaran", katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Menurut beliau, bahan yang dirampas sememangnya mempunyai unsur letupan dan siasatan kini tertumpu kepada tujuan penyimpanan bahan tersebut, sasaran yang mungkin terlibat serta kemungkinan pembabitan pihak lain.
Beliau menambah, latar belakang suspek masih disiasat dan proses merakam percakapan belum dapat dijalankan kerana suspek masih menerima rawatan di hospital.
Suspek lelaki berusia 62 tahun itu kini direman sehingga 3 Januari depan bagi membantu siasatan, sementara polis menunggu laporan perubatan bagi menentukan tahap kesihatannya untuk memberi keterangan.
Sebelum ini, polis memaklumkan suspek ditahan di Batang Benar, Nilai dalam keadaan lemah dan mengalami kecederaan melecur selepas dipercayai bersembunyi di kawasan hutan sejak kejadian letupan.
Kes disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Kanun Keseksaan dan Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958.
Polis meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.